Thursday, February 10, 2011

200 ahli PKR sertai Gerakan

IPOH 9 Feb. - Seramai 200 bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat dan Tambun hari ini mengambil keputusan menyertai Gerakan selepas setahun meninggalkan parti pembangkang itu.
Mereka yang diketuai bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ipoh Barat, V. Subramaniam, 38, menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn yang juga Pengerusi Gerakan negeri di Wisma Gerakan di sini hari ini.
Menurut Subramaniam, Gerakan merupakan parti terbaik untuk mereka kerana ia parti berbilang kaum yang diketuai pemimpin yang merendah diri tetapi lantang apabila memperjuangkan sesuatu isu.
''Sejak meninggalkan PKR pada Mac 2010, hampir setahun kami tidak menyertai mana-mana parti walaupun banyak menerima tawaran daripada beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.
''Dalam tempoh itu, kami melihat senario politik negara dan memikirkan tindakan seterusnya. Selepas itu, barulah kami memutuskan untuk sertai Gerakan kerana yakin hanya BN yang boleh membela rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Subramaniam berkata, mereka meninggalkan perjuangan PKR kerana parti itu tidak pernah mempedulikan nasib ahli tetapi hanya memperjuangkan agenda Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.
Katanya, ada dakwaan mengatakan mereka keluar PKR kerana terima sogokan daripada BN tetapi ia sebenarnya tidak benar sama sekali.
''Selepas menang di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), mereka hanya sibuk berbincang tentang syarikat kerajaan negeri dan konsesi balak. Mereka lupa terus ahli-ahli di bawah," katanya.
Justeru, beliau berharap rakyat tidak lagi tertipu dengan janji kosong pembangkang sebaliknya bersama menyokong BN yang boleh membantu mereka.
Sementara itu, Ko Youn mengalu-alukan kemasukan 200 bekas ahli PKR itu ke dalam Gerakan yang menunjukkan keyakinan mereka terhadap rekod cemerlang BN menguruskan negara. -UTUSAN-

No comments:

Post a Comment