Friday, February 4, 2011

ADUN Sri Muda ditahan

Shuhaimi Shafiei (ADUN Sri Muda, PKR) hari ini ditahan polis mengikut Akta Hasutan 1948 berikutan tulisan dalam blognya baru-baru ini yang dilihat menghina dan menghasut orang ramai supaya menentang institusi raja.

Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja sebelum ini mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan dalam blognya yang disiarkan pada 30 Disember lalu.

ADUN itu antara lain turut menyatakan pelantikan jawatan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Malah, Shuhaimi menerusi kenyataan dalam laman blog berkenaan seolah-olah turut memberi amaran kepada institusi beraja Selangor agar tidak berterusan bertindak membelakangkan MMKN atau berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana.

Tidak cukup dengan itu, wakil rakyat tersebut turut menyatakan kononnya rakyat akan menolak sebarang tindakan ‘beraja di mata, bersultan di hati’ oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja.

No comments:

Post a Comment